Badan Bertindak Mahasiswa Negara

Kebangkitan Mahasiswa Memimpin Perubahan

  • Subscribe

  • BBMN

    Badan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) ditubuhkan pada tahun 1986 idea daripada Prof. Dr Zulkifli Yaakob. Sejak penubuhannya, BBMN menjadi medan perhimpunan YDP MPP universiti diseluruh negara. Kini walaupun kampus-kampus dimanipulasi oleh puak aspirasi, namun begitu BBMN terus bergerak dimana ianya menjadi medan berkumpulnya ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa yang mewakili Pro-Mahasiswa di seluruh negara.

Relevenkah Penyelesaian Ini…?

Posted by bbmn on June 27, 2008

Pada 4 Jun 2008, Perdana Menteri Malaysia YAB Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kenaikan harga bahan bakar.Harga petrol melonjak naik kepada RM2.70 per liter iaitu pertambahan sebanyak 78 sen seliter daripada harga asal dan harga diesal pula mencecah RM2.58. Isu kenaikan harga bahan bakar ini mendapat reaksi daripada ramai pihak, tidak kira di peringkat kerajaan, badan- badan bukan kerajaan, malah mahasiswa juga turut merasai bahang kenaikan .

Pelbagai sumbang saran serta idea yang tidak kurang bernasnya telah dilontarkan daripada pelbagai pihak untuk membantu kerajaan merealisasikan usaha mengurangkan bebanan rakyat akibat daripada kenaikan harga minyak. Tidak lupa juga diucapkan tahniah dan syabas kepada pihak kerajaan dalam usaha menangani permasalahan ini. Penstrukturan semula subsidi yang dijalankan oleh kerajaan dalam menangani permasalahan ini, saya kira baik niatnya tetapi perlu ada pemurnian dari beberapa aspek.
Pemberian rebat kepada pemilik kenderaan persendirian, berkapasiti enjin sehingga 2000cc, ‘trak pick-up’ dan jip berkapasiti enjin sehingga 2500ccm serta motosikal persendirian, berkapasiti enjin sehingga 250cc sebagai pengganti kepada pengurangan subsidi adalah langkah yang saya kira baik matlamatnya, iaitu menyalurkan bantuan kepada mereka yang lebih memerlukannya, tetapi beberapa perkara perlu dinilai semula.


Pertama, adakah relevan andaian penggunaan 66 liter sebulan yang dianggarkan oleh kerajaan? Jumlah rebat kereta jika dipuratakan penggunaan seharian adalah lebih kurang RM1.71 sen sehari. Adakah jumlah ini mencukupi walaupun pengguna hanya menggunakan kereta tersebut untuk ke tempat kerja? Adakah jumlah rebat ini benar-benar dapat membantu golongan sasaran dalam menghadapi kesan kenaikan harga minyak itu selama setahun? Perlu diingat bahawa pengguna tidak hanya terpaksa menanggung kenaikan harga minyak, tetapi mereka juga terpaksa menanggung kenaikan-kenaikan harga lain kesan daripada pengurangan subsidi ini. Disamping itu, terdapat juga kereta mewah yang berkapasiti enjin di bawah 2000cc, adakah adil jika kereta mewah ini juga diberikan rebat? Rata-rata pengguna kereta jenis mewah ini tidak akan terkesan dengan kenaikan harga minyak, dan jika mereka terkesan sekalipun, mereka mempunyai pilihan untuk menggunakan kereta yang lebih murah dan efisien.

Pada hemat saya juga penstrukturan semula ini gagal untuk menangani beberapa permasalahan yang timbul akibat daripada pengurangan subsidi. Kenaikan kos yang melampau, kesan “multiplier effect” daripada kenaikan harga minyak ini tidak dapat diatasi oleh langkah penstrukturan semula ini. Rebat yang diberikan terlalu sedikit untuk menampung kos kenaikan bahan api yang ditanggung pengguna, apatah lagi untuk menanggung atau mengurangkan kenaikan-kenaikan lain hasil daripada kenaikan harga minyak. Subsidi-subsidi yang disalurkan semula kepada dasar Jaminan Makanan Negara, pembelian beras, gandum, gula dan sebagainya dilihat tidak mampu mengekang kenaikan harga barang-barang keperluan ini. Subsidi-subsidi ini dilihat hanya mampu untuk mengekang kenaikan harga barang akibat daripada permintaan dan pengeluaran, tetapi tidak kepada kesan-kesan lain yang wujud hasil daripada kenaikan harga minyak di Malaysia. Kerajaan seharusnya sedar bahawa pertambahan 78sen seliter kepada harga petroleum akan membawa kepada beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat adalah lebih daripada itu, hasil daripada kenaikan harga barang-barang keperluan yang lain.

Selain itu, nasib rakyat yang kurang bernasib baik, yang tidak menerima rebat juga perlu diambil kira. Bantuan-bantuan perlu disalurkan kepada mereka agar dapat menghadapi kesan inflasi akibat daripada pengurangan subsidi ini. Jumlah pendapatan yang menunjukkan tahap kemiskinan juga perlu dinilai semula, supaya mereka yang benar-benar memerlukan bantuan tidak dinafikan hak mereka. Jumlah bantuan daripada jabatan kebajikan masyarakat perlu dinilai semula dan dinaikkan ke paras yang sesuai. Disamping itu, bantuan dalam bentuk khidmat latihan dan kemahiran perlu diperluaskan supaya akhirnya ia dapat membantu mereka yang kurang bernasib baik untuk berdikari. Langkah-langkah ini pernah dan telah dijalankan oleh kerajaan sebelum ini, tetapi saya melihat tindakan yang diambil bagaikan tiada kesungguhan. Terdapat mereka yang memerlukan masih gagal dibantu, dan ada sesetengahnya mendapat bantuan yang terlalu sedikit dan tidak berbaloi dalam mengurangkan kesusahannya. Ini belum diburukkan lagi dengan penyelewengan sumbangan dan kronisme yang secara diam-diam diakui berlaku.

Tindakan kerajaan dalam mengenakan tekanan ke atas peniaga juga dilihat tidak praktikal dan tidak memahami keadaan semasa. Tidak dapat tidak kesan kenaikan harga minyak telah membebankan mereka. Mereka juga hanyalah orang tengah diantara pengeluar dan pembeli. Jika pengeluar menaikkan harga barang, peniaga juga terpaksa meningkatkan harga jualan mereka. Rintihan mereka sepatutnya diteliti. Walaubagaimanapun peniaga dan pengeluar perlu dipantau dan disiasat secara konsisten, untuk memastikan mereka tidak menaikkan harga barang sesuka hati dan mengambil kesempatan di atas kesulitan rakyat. Penguatkuasan perlu dipertingkatkan untuk mengelakkan kes sorokan barang keperluan yang begitu banyak diperkatakan sekarang ini daripada terus berlaku.

Kami diperingkat mahasiswa begitu prihatin akan beban yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan akibat daripada kenaikan harga minyak global ini. Walaupun pada pendapat saya pengurangan subsidi adalah perlu, tetapi pelaksanaannya perlulah dijalankan dengan teliti dan telus supaya tidak membebankan dan menimbulkan kesulitan yang ketara kepada rakyat. Tindakan kerajaan dalam melaksanakan penstrukturan semula subsidi dilihat dibuat secara tergesa-gesa dan mengejut. Rakyat malah pemacu-pemacu ekonomi samada dalam sektor pembuatan, pembinaan, servis, pertanian dan sebagainya menghadapi kesulitan dalam menyesuaikan diri. Tempoh penyesuaian sepatutnya diberikan dahulu kepada rakyat, dan masalah-masalah seperti pengangkutan awam seharusnya diselesaikan terlebih dahulu.

Oleh itu kami diperingkat mahasiswa berharap kerajaan dapat meneliti dan mengkaji semula penstrukturan semula subsidi yang diguna pakai oleh kerajaan pada masa sekarang, walaupun ia telah mendapat persetujuan parlimen. kami mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula jumlah rebat yang diberikan. Rebat yang diberikan seharusnya benar-benar dapat mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat kesan daripada penstrukturan semula subsidi ini. Disamping itu tempoh pembayaran rebat juga perlu dinilai. Ini kerana mereka terpaksa menanggung kesan selama setahun sebelum menerima rebat tersebut. Kami mencadangkan agar pemberian rebat dibahagikan kepada beberapa kali setahun, seperti pembayaran gaji dua kali sebulan oleh kerajaan. Kerajaan juga hendaklah mengenakan cukai keuntungan ke atas syarikat-syarikat minyak yang diberi kebenaran untuk mengorek minyak di Malaysia. Cukai ini telah dikenakan kerajaan keatas pengeluar-pengeluar minyak kelapa sawit, dan ini akan membantu menambahkan dana kerajaan sekiranya dilaksanakan. Khidmat sosial yang telah lama diamalkan Petronas seharusnya menjadi ikutan kepada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang lain. Lebihan-lebihan keuntungan hendaklah digunakan untuk mengurangkan beban rakyat dan cukuplah sebahagian keuntungan digunakan untuk pelaburan dan selebihnya diberikan kepada kerajaan seperti yang dilakukan oleh Petronas. Syarikat-syarikat swasta juga tidak seharusnya dikecualikan daripada memberikan khidmat kepada masyarakat.

Tidak cukup dengan perubahan-perubahan yang perlu dijalankan oleh setiap pihak, kerajaan juga perlu memainkan peranannya dalam melakukan perubahan. Tindakan kerajaan dalam menangani isu kenaikan harga minyak dilihat hanya berlaku selepas daripada respon yang hebat oleh rakyat. Kerajaan seharusnya memikirkan tindakan-tindakan penjimatan dan sebagainya lebih awal lagi untuk mencerminkan suasana menang-menang. Tindakan penjimatan yang diumumkan oleh kerajaan dilihat terlalu kecil. Pemotongan ke atas menteri-menteri dilihat terlalu kecil berbanding beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat, dan jika diperhatikan ia hanyalah pemotongan elaun keraian. Disamping itu, kerajaan perlu telus dalam menguruskan kewangan Negara. Kita tidak mahu episod-episod lalu yang diketengahkan media berulang kembali. Isu rasuah, kronisme, korupsi, penyalahgunaan dana hendaklah diperangi secara serius. Apabila juru audit Negara memberikan laporan tahunan mengenai penyalahgunaan dana, korupsi, pembelian barang dengan harga yang mahal dan sebagainya, kerap kali isu tersebut seperti mencurah air ke daun keladi. Pihak yang terlibat tidak dikenakan apa-apa tindakan, dan pada tahun-tahun seterusnya isu-isu ini dibangkitkan semula.

Isu minyak ini adalah isu global, dan mahu tidak mahu Malaysia terpaksa menghadapinya. Masalah ini dapat diselesaikan, jika setiap pihak bersikap progresif, tahu dan faham tanggungjawab masing-masing. Jika kerajaan menjalankan tanggungjawabnya dalam mengurus Negara dengan telus, jika pengeluar-pengeluar dan peniaga-peniaga menjalankan tanggungjawabnya dengan prihatin dan tidak mengambil kesempatan diatas kesulitan rakyat, jika syarikat-syarikat menjalankan tanggungjawab sosialnya, jika rakyat sedar akan tanggungjawabnya, dan bertindak sebagai agen “check and balance” kepada kerajaan, isu ini dapat diselesaikan secara kolektif dan inilah yang akan mewujudkan situasi menang-menang.

Oleh:
Yusuf UiAM
BBMN Zon Tengah

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: